Assalamualaikum dan salam sejahtera. Seperti mana yang kita ketahui dah lebih 2 tahun pandemik Covid-19 ni berlaku. Walaupun masih ada jangkitan sampai hari ini tapi alhamdulillah tak serius seperti dulu yang membuatkan seluruh dunia hampir ‘lumpuh’.Sepanjang masa itu aku bersyukur sebab masih boleh bekerja kerana bidang yang aku termasuk ‘essential services’ yang merupakan barang keperluan harian.
*Sepanjang tempoh itu
Dalam tempoh pandemik tu memang tak boleh dinafikan amat memeritkan. Pada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama aku tengok awal-awal tu memang orang masih buat tak tahu dan menjalani kehidupan biasa. Ada yang masih keluar rumah berjoging dan bersiar-siar. Pemakaian pelitup muka masih janggal tetapi bila kerajaan makin serius baru ramai orang pakai termasuk aku dan bersyukur sekali lagi tak payah beli sebab syarikat tempat aku bagi hari-hari. Jalan raya jadi lengang dan nak cari tempat makan pun payah jadi aku makan kat tempat kerja atau dekat luar masjid sambil solat sekali sebab nak masuk dalam masjid dah kena tutup. PKP kedua agak longgar sedikit bila kedai makan dah buka tetapi kena bungkus tak boleh makan dalam kedai tetapi orang masih tak boleh rentas daerah, ketika itu juga agak terkilan sebab minyak murah tetapi tak boleh kemana-mana, pergi kerja balik kerja sahaja.
Tetapi bila PKP ketiga tiba itu yang paling ekstrem (bagi aku), pada masa tu jangkitan dah mula cecah 5 angka dan lokasi ‘panas’ dah kena PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat). Banyak tempat dah kena termasuk taman aku tinggal. Taman aku kena 2 kali (lebih juga rasanya sebab ada lorong rumah kena juga) dengan yang pertama itu paling ketat. Apa yang berlaku adalah masjid serta sekolah akan ditutup sepenuhnya, kedai runcit buka tetapi masa terhad dan orang yang nak keluar kena ada surat khas atas sebab-sebab tertentu sahaja. Pernah aku aku tak dapat kerja selama seminggu lebih bila pihak berkuasa tak bagi sesiapa pun keluar kecuali yang kerja dengan pihak berkuasa sahaja. Penyelia aku yang merayu untuk aku pun dia tak bagi dan beberapa pekerja yang tinggal sekali dekat taman aku pun tak boleh keluar jadi agak tertekan juga masa tu. Tetapi sekarang alhamdulillah semua dah selamat dan aku berdoa semoga janganlah kena ‘kurung’ lagi.


*Kena kuarantin dirumah
Disepanjang musim pandemik itu hari, memang ramai rakan sekerja aku kena kuarantin disebabkan positif Covid-19 atau kontak rapat. Malangnya aku juga tak terkecuali, entah macammana, malam tu badan rasa lain macam dan tiba-tiba panas.Lepas telan Panadol lega sekejap sahaja lepas tu demam balik. Pagi itu aku datang kerja tetapi lepas tu pening kepala dan demam dan selepas tengahari aku cakap dekat bos nak balik sebab tak sedap badan. Keesokan harinya aku pergi klinik dan selepas check darah disahkan aku mungkin kena denggi. Tetapi, aku dikira bergejala dan terpaksa buat RT-PCR test pada hari yang sama dan kena kuarantin dirumah dalam dua minggu lebih. Lepas kena pakai gelang pink aku duduk rumah dan kena datang klinik balik untuk ambil darah sekali lagi sebab nak tengok sel darah putih aku masih turun atau tidak.
Bila doktor kata tak ada apa-apa dan demam pun semakin baik, aku pun tarik nafas lega sebab bukan kena Covid-19 tetapi masih kena kuarantin wajib dekat rumah. Jadi bermulalah hari-hari duduk rumah sahaja tak boleh keluar kemana-mana sampai aku nak beli air mineral pun kena guna Shopee. Selain makan,tidur dan solat aku banyak habiskan masa di Youtube. Aku tengok sahaja orang main RE: Village kerana aku tak boleh main sangat game 1st person sebab buat aku loya dan pening. Tetapi kebanyakkan masa malam aku layan Walking Tour terutamanya dekat Jepun.
*Tak sangka jadi macam ni…
Memang tak sangka betul bila fikir balik yang mulanya tak boleh ke luar negara,kemudian tak boleh rentas negeri, kemudian daerah dan kini rumah cuma tak sampai tak boleh keluar bilik lagi. Nauzubillah…harap-harap jangan jadi sampai macam tu. Jadi sambung balik pasal tengok Walking Tour dekat Youtube, kebanyakkannya dekat Jepun sebab nak ingat balik ziarah aku kesana 11 tahun lepas (aku kena kuarantin dalam bulan Julai 2021). Jadi setiap hari mereka akan update terutamanya tempat-tempat tumpuan orang ramai macam Akihabara,Harajuku dan Shibuya. Mereka rakam pun masa tengah musim panas jadi memang menariklah tengok orang semua pakai baju longgar walaupun hampir 100% orang sana pakai pelitup muka. Sampai sekarang pun mereka masih rakam suasana ditempat-tempat tersebut dan aku nampak makin ramai yang berbuat demikian.
Akhirnya selepas tamat kuarantin aku pergi potong gelang diklinik khas dan alhamdulillah sampai sekarang tak kena kuarantin atau kena jangkitan Covid-19.Aku pun dah ambil dos vaksin termasuk booster tetapi tetap pakai pelitup muka ke mana-mana tempat aku pergi sebagai langkah berjaga-jaga. Tetapi pada aku kita masih belum menang sebab orang yang positif masih ramai dan daerah aku pun masih zon merah jadi apa-apapun perlu berhati-hati.
Sekian