Selamat Hari Raya Aidilfitri 2024!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Malam ini dah masuk hari raya ketiga dan sebelum tidur aku rasa nak tulislah sedikit :

  1. Bulan Ramadhan tahun ni memang mencabar betul. Panasnya tak terkata dan aku rasa hujan yang turun boleh bilang dengan jari sahaja tetapi alhamdulillah pagi 1 Syawal tu hujan turun dengan agak lebat. Ada jamuan hari raya dekat tempat aku yang dihadiri oleh Sultan Pahang dan kerabatnya, sempat pergi kejap sebab hari dah makin panas dan waktu Zohor pun nak dekat masuk.
  2. Tak sempat terawikh 2 malam di penghujung Ramadhan atas faktor kerja.
  3. Sempat pergi Bazar Raya di malam raya nak tengok suasana dan beli sedikit kuih raya.
  4. Malam raya kedua layan movie Gundam Seed Freedom. Disebabkan siri dia aku akhir tengok lama dulu,awal-awal tu macam blur nak ingat balik plot dia. Tapi kemudian mula ingat balik sikit-skit dan banyak fokus pada hubungan Lacus Clyne dengan Kira Yamato je.

Itu sahaja rasanya buat masa ini. Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin buat semua!

Sekian

Getting Older

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera,

Lama betul tak tulis apa-apa dalam blog ni jadi sebelum tidur tulislah sikit tentang umur aku yang dah meningkat setahun hari ni. Kebetulan hari esok cuti umum Tahun Baru Cina dan permulaan cuti penggal persekolahan tetapi aku tetap kena kerja esok macam biasa.

Selalunya aku muat naik gambar dekat Facebook tetapi malaslah pulak sebab tak ada apa yang menarik. Semoga diberi kesihatan untuk hidup sampai tahun depan.Inshaallah.

Sekian.

Review: A Haunting in Venice

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Setelah sekian lama dapat juga aku meluangkan masa untuk menonton wayang. Bukan apa tak ada cerita yang menarik dan kebetulan aku dapat cuti baru-baru ni. Jadi aku berpeluang menonton kisah penyiasatan terbaru Hercule Poirot ,A Haunting in Venice.

Plotnya berkisar pada Hercule Poirot yang telah bersara dari menjadi detektif dan kini menetap di Venice,Italy pada tahun 1947. Satu hari ada kawan lama ajak dia untuk menyertai satu upacara memanggil roh di sebuah tempat bersempena sambutan Halloween. Dia ni memang tak percaya pada hantu,roh dan sebagainya tetapi dia ikut sahaja sebab tuan rumah tempat tu ada menjemput seseorang yang dapat berkomunikasi dengan roh yang telah mati.Tetapi selepas ada kes pembunuhan demi pembunuhan dia pun cuba menyiasat apa yang berlaku dan mahu mencari siapa pembunuh sebenarnya.

Pada aku plot cerita kali ini agak membosankan dan aku terpaksa tengok sampai habis untuk tahu siapa pembunuh sebenar dan apa motifnya. Cuma yang menarik adalah penampilan Tan Sri Michelle Yeoh yang melakonkan watak orang yang boleh berkomunikasi dengan roh-roh yang telah mati dan yang lain tu macam banyak ‘jumpscare’ sahaja.

Sesiapa yang minat tengok cerita macam ni dan pernah baca buku dia bolehlah layan cerita ni ( dipawagam rasanya dah tamat tayangan). Setakat ni cerita yang paling menarik adalah ‘Murder On The Orient Express’ yang aku sangat cadangkan kepada sesiapa yang belum tengok lagi.

Sekian

Hari Raya Haji 2023

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Lama betul aku tak tulis apa-apa kat sini. Sejak mula balik bekerja ni memang tak sempat nak tulis apa-apa. Balik sahaja tengok PC kejap lepas tu terus tidur. Ini pun ada masa sedikit sebab aku cuti raya haji selama 3 hari, esok dah kena kerja.

Tahun ni aku tak sempat nak masuk korban sebab dana tak cukup. Inshaallah, tahun depan kalau ada rezeki lebih bolehlah masuk satu bahagian. Harga korban sekarang pun makin mahal, mungkin akan buat korban diluar negara sebab lebih murah dan ramai disana yang lebih memerlukan.

Itulah serba sedikit coretan tengah malam ni, banyak perkara aku nak kongsi harap-harap ada masa nak tulis lagi

Sekian

Game On Lagi Ke?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Tak sangka dalam beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan. Moga dipertemukan dengan bulan yang agung ini lagi amin ya rabb.

Posting kali ini adalah berkaitan tentang game secara jelas ‘video games’, ya suatu ketika dahulu memang aku seorang pemain game yang tegar terutamanya konsol Playstation dan PC kadangkalanya.Tetapi buat masa sekarang aku tak mahu cerita game apa yang tengah aku main sekarang cuma sejarah macammana boleh terjebak dengan dunia ni.

*Bermula dari sini…

Seingat aku mula-mula aku minat main game atau video game ni adalah ketika arwah ayah bawa aku ke satu sudut game di dalam pasaraya yang sederhana besarnya.Yelah ketika tu nak hiburkan hati budak-budak mana ada gajet canggih-canggih atau game center khusus jadi dia buatlah macam ni supaya budak-budak ni ralit sementara ibu bapa dia membeli belah atau nak layan kerenah anak dia.Pada masa itu video konsol 8-bit amat popular dan budak-budak boleh pilih daripada pelbagai katrij game yang disediakan. Bayaran mengikut jam dan selalunya aku main dalam 1 atau 1 jam setengah macam tu.Tetapi lama kelamaan pasaraya tu pun dah tutup dan aku pun dah berpindah ketempat lain.

Selang beberapa ketika, makin ramai yang ada konsol 8-bit sendiri namun aku masih tak mampu lagi.Disebabkan minat, kadang aku lepak rumah kawan yang ada konsol atau tengok dari luar rumah dia sahaja sehinggalah arwah ayah aku beli satu konsol jenama ‘Micro Genius‘ yang membuat aku sangat gembira dapat main didalam rumah sendiri.Namun, aku hanya ada satu dua katrij sahaja jadi kalau nak main game lain terpaksalah pinjam katrij kawan aku yang lain.

Seingat aku konsol yang aku ada itu bertahan dalam beberapa tahun sahaja sebelum rosak dan selepas itu aku beralih ke game ‘handheld’ popular pada zaman 90an iaitu Tetris.Kadang-kadang kalau ke bandar aku akan singgah ke arked untuk tengok orang main atau aku main sekali. Namun, dunia game berubah dengan cepat bila konsol berasaskan CD mula diperkenalkan.

*Era baru permainan video…

Lewat 90an buat pertama kalinya syarikat SONY mengeluarkan konsol Playstation pertama untuk pasaran dunia dan sejak daripada itu macam-macam game yang keluar terutamanya dari Jepun,US atau Eropah. Konsol tu memang mahal masa dia keluar dulu berganda dari konsol 8bit yang aku beli sebelum ni.Disebakan itu,aku terpaksa main dekat kedai gajet dengan bayaran RM 5 sejam lebih kurang dengan membawa memory kad sendiri sebab selalunya aku main sendirian sahaja.Namun, setelah beberapa lama dapat juga beli selepas memujuk mak dan ayah aku walaupun pada awalnya mereka memang bising tak ingat. Sejak daripada itulah mulanya ‘kegilaan’ dengan video game ni dan aku rasa dah cuba main macam-macam game dipasaran daripada yang memang terkenal hingga ke ntah apa-apa. Banyak juga duit aku habis setiap minggu beli CD game sebab masa dulu memang ada cara yang ‘murah’ dan dijual secara terbuka.Boleh dikatakan berjam-jam dihabiskan dihadapan TV dan kalau game tu menarik sangat boleh sampai ke Subuh dibuatnya.

Masuk tahun 2000, SONY mula memperkenalkan Playstation 2 pula,aku sempat beli konsol ni beberapa tahun kemudian namun disebabkan aku masih belajar aku jarang dapat main dan berkesempatan bila ada cuti semester sahaja.Ketika itu aku masih lagi ‘hardcore gamer‘ sebab memang banyak judul-judul game yang menarik seperti Final Fantasy,Resident Evil dan Silenthill. Macam biasa, aku akan berada dihadapan TV sehari suntuk hingga kadang-kadang terlelap sampai ‘controller’ tu jatuh atas muka aku (kadang-kadang aku main sambil berbaring). Seperti biasa kedai game merupakan tempat wajib aku singgah kalau pergi bandar atau mana-mana pekan besar. Walapun ada game yang belum habis main, aku tetap beli juga sebagai benda yang akan dimain seterusnya.

*Pilihan makin banyak…

Selang beberapa tahun selepas populariti PS2 ni, SONY mengeluarkan pula konsol generasi seterusnya iaitu Playstation 3,seingat aku dalam tahun 2008 macam tu. Tetapi, agak lama juga aku terpaksa menunggu untuk beli konsol ni sebab masalah duit terutamanya dan ketika ini aku dah mula sibuk dengan kerja.Dalam masa yang sama, syarikat gergasi perisian komputer Microsoft, mengeluarkan konsol dia sendiri iaitu XBOX yang merupakan saingan kuat untuk Playstation, ia mendapat sambutan hebat diseluruh dunia dengan pelbagai game hebat yang tersendiri. Sebelum beli PS3, sempat juga beli XBOX360 dan main beberapa game tetapi aku rasa macam tak kena lalu aku jual tak sampai setahun rasanya.

Selain itu,aku juga ada beli Playstation Portable (PSP) semata-mata nak main Tokimeki Memorial 4 (aku memang kaki Tokimeki walaupun dalam Jepun sepenuhnya) dan semasa duduk di Australia aku beli Playstation Vita sebab bosan masa cuti tak tahu nak buat apa. Kedua-dua handheld tu aku dah jual sebab tak ada game sangat yang aku nak main dan perlukan duit ketika itu. Handheld yang aku nak beli lepas ni mungkin Nintendo Switch sebab nak main Front Mission First.

Balik dari Australia tahun 2015, Playstation 4 dah beberapa tahun dilancarkan. Aku dalam dilema nak beli PS3 dulu ke atau PS4. Setelah fikir punya fikir baru teringat ada game PS3 terpakai yang aku beli dahulu masih ada dirumah. Jadi aku beli dahulu PS3 dengan harapan mungkin tahun berikutnya aku dapat ‘upgrade’ ke PS4 tetapi itulah sampai sekarang masih belum dapat beli PS4 sehinggalah Playstation 5 keluar sekarang.Buat masa ni aku masih belum mampu untuk beli kedua-dua konsol ni.

Buat masa sekarang, aku banyak main game dari STEAM guna laptop dan kadang-kadang buka PS3 untuk habiskan beberapa game yang ‘still ongoing‘. Mana-mana game yang tak sempat habis masa zaman PS1 dan PS2 aku tengok gameplay sahajalah di Youtube.Terus terang aku bukanlah ‘Hardcore Gamer’ lagi macam dulu-dulu cuma ‘Casual Gamer’ yang lepas gian sekali-sekala. Tetapi kalau ada title yang menarik macam Resident Evil contohnya memang aku akan cuba habiskan satu ‘gameplay’ dan kalau aku ada ‘mood’ akan main sekali lagi.

Sebagai gamer, tak semua game aku main. Ada beberapa genre game yang aku tak main contohnya sukan, fighting ,open world terutamanya online based yang entah bila nak habis dan 1st person shooter sebab aku mudah kena ‘motion sickness’. Genre game yang aku minat tentunya RPG (story based dan selalunya dari Jepun), 3rd person shooter (Max Payne,Syphon Filter, Uncharted dan sebagainya) dan horror games (Resident Evil,Silenthill,Fatal Frame dan sebagainya). Aku juga tak terlibat dalam esport, pernahlah dulu-dulu buat LAN party untuk seronok-seronok bersama kawan-kawan atau lawan dengan orang lain di Kafe Siber, tetapi untuk terlibat secara serius memang takdelah.Selain itu kalau ada game yang macam menarik aku akan layan dan mungkin main sampai habis,harapan yang tinggi ada untuk main Last of Us Eps 1 sekiranya dapat beli PS5 nanti.

*Masa depan gaming…

Aku rasa fenomena ni bukan kena dekat aku sahaja malah melanda seluruh dunia, cuma masa tu dunia internet ni baru nak berkembang dan media sosial pun belum gah lagi. Cuma beberapa tahun ni sahaja bila laman web utama macam Facebook dan Youtube menjadi rujukan utama gamers seluruh dunia yang sebelum ni tertumpu pada forum-forum komuniti kecil, barulah kita tahu yang industri permainan video ni memang satu bisnes yang menguntungkan dan berjumlah berbilion ringgit!

Terus terang buat masa ni aku tak dapat meninggalkan dunia game ini sepenuhnya. Banyak lagi game yang aku belum main dan sekarang ni banyak pula syarikat game dah mula buat ‘remake’ untuk game hit mereka yang lepas-lepas. Sebagai contoh, Capcom akan mengeluarkan versi baru Resident Evil 4 dalam Mac 2023 ni. Aku dah habis main yang original masa dia keluar tahun 2006 yang lalu untuk PS2 dan mereka dah ‘remake’ semua game RE sebelumnya dari 1 hingga 3 dan aku dah habis main kesemuanya. Ini sebenarnya strategi mereka untuk memberi pendedahan kepada pemain lama dan juga baru francais ni.

Itulah serba sedikit hobi kegemaran aku pada masa lapang yang masih aku teruskan sampai sekarang. Bagi aku,hobi bermain game ni macam menonton filem atau membaca buku cuma ia lebih interaktif dan kita dapat merasai kesudahan cerita tersebut.

Sekian