*Pergi ke tak?
Assalamulaikum dan selamat malam semua. Dah lama sebenarnya aku nak tulis pasal ni sejak menjadi isu besar dari bulan Jun lagi. Nampak dari tajuk tu, nampak macam aku pergi ke tak tahun ni tapi sebenarnya aku tak pergi pun dan aku akan terangkan kemudian kenapa. Sebelum tu aku nak cerita sedikit pengalaman aku pergi pesta Bon Odori ni pada masa yang lepas.
*Aku dan Bon Odori
Pesta Bon Odori ni (pada fahaman aku) seperti yang sedia maklum adalah acara kebudayaan bagi masyarakat Jepun memperingati arwah nenek moyang diaorang dahulu dan disambut pada musim panas diantara bulan Jun hingga Ogos. Acara dia sama sahaja tiap-tiap tahun dimana penari-penari (dan orang ramai) akan menari mengikut paluan gendang secara berpusing mengikut rentak dan gerak tari yang tertentu.
Tetapi pada awalnya, memang aku mengikut setiap acara tarian yang mereka buat sampai habis namun selepas kena tegur tentang sebab tarian itu diadakan adalah untuk memperingati roh nenek moyang meraka yang terdahulu, aku terus tak buat dan sejak itu aku datang pun sekadar nak jumpa kawan-kawan dan ambil gambar sahaja. Sebab lain pun mungkin nak rasa makanan dan minuman Jepun juga aktiviti-aktiviti lain yang ada dekat situ. Kehadiran setiap tahun memang sangat ramai dan kemuncaknya lepas maghrib bila tarian terakhir diadakan. Selain tarian, pesta ni juga adalah tempat orang berpiknik, bertemu rakan-rakan dan melaram pakaian tradisional Jepun musim panas iaitu Yukata.
Di acara ini juga aku dapat buat mini gathering bersama komuniti forum aku dahulu dan selepas acara selesai kami semua akan makan di kedai Tom Yam yang terletak tak jauh dari stadium tu. Disebabkan aku dah ikut tarian, aku meluangkan banyak masa kat situ dengan mengambil gambar dan video penari-penari termasuk orang ramai yang hadir kat acara tersebut.Rupanya, pesta ni dah lama diadakan sejak puluhan tahun lagi dan masa tu acara ni khusus untuk orang Jepun yang tinggal kat Malaysia ni namun lama kelamaan ia terbuka untuk semua.
*Dalam kenangan
Setelah beberapa tahun menghadiri pesta ni bersama kawan-kawan, terakhir sekali aku pergi adalah pada 2015 di Shah Alam dan beberapa minggu lepas tu di Johor Bahru. Di Johor baru tu acara dia kecil sikit berbanding di Shah Alam tetapi kunjungan orang ramai masih meriah. Seperti di Shah Alam yang mempunyai 3 lagu bersama tarian, di Johor ni ada tambahan 1 lagu dan tarian yang mereka panggil Johor Undou. Selain itu, masa aku pergi itu hari banyak juga aktiviti sampingan yang ada seperti sketsa dan pasukan sorak.



Disini juga aku nak ceritakan beberapa sebab aku dah tak menghadiri pesta Bon Odori ni:
- Aku dah tinggal jauh – Dulu memang senang pergi sebab aku tinggal dekat area Selangor. Tetapi sejak 2015 aku dah tinggal kat rumah keluarga aku dan tak berkesempatan nak pergi. Tahun 2015 tu pun aku naik motor dari rumah balik hari. Malam-malam ikut Lebuhraya Karak seram weh.
- Kawan-kawan dah tak ada – Setelah beberapa tahun aku nampak ramai yang tak dapat hadir atas macam-macam sebab seperti komitmen keluarga, kerja, tak berminat dan sebagainya. Jadi, aku pun malas nak pergi sebab tak kenal dah sapa-sapa kat situ.
- Masa dan tujuan yang tak kena – Acara ni bermula lewat petang sampai habis waktu Isyak dan secara peribadi bagi aku macam tak kena sahaja. Walaupun surau disediakan untuk Solat tetapi keadaan memang bising dengan paluan gendangnya dan orang ramai lagi memang tak khusyuk betul. Ditambah pula baru-baru ni jadi isu yang acara ni memang tak sesuai untuk umat Islam sebab ada kepercayaan memuja roh orang mati. Selain itu, arak juga diminum secara terbuka kat sini dan lepas acara je penuh bersepah tin-tin bir disana-sini.
- Kes COVID naik – Ada kebimbangan buat aku bila beberapa hari ni kes Covid19 makin naik jadi itu salah satu punya aku tak pergi dan cuba elakkan dari tempat sesak dan tumpuan ramai.
Itulah serba sedikit cerita aku pasal pesta Bon Odori ni. Walaupun dengan isu, aku tengok ramai juga orang datang. Aku tak boleh nak kata apa itu kehendak masing-masing tetapi buat masa ni aku tak berhajat untuk pergi, kalau pergi pun untuk jumpa kawan (kalau ada) dan ambil gambar sahaja.Masuk sahaja waktu Maghrib terus aku balik. Sekian.