KLCC revisited

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera!

*Kembali ke KL

Kuala Lumpur adalah antara bandar kegemaran aku dekat Malaysia ni. Trip kali ni adalah yang ketiga selepas trip sebelum ni yang aku singgah sehari semalam sahaja selepas balik dari Singapura. Tujuan aku pergi kali ni adalah untuk tengok pameran francais di Pusat Konvensyen KLCC dan urusan insuran di KL Sentral. Disini aku nak cerita apa yang berlaku masa aku di sana. Kalau nak tengok trip pertama aku tahun ni selepas pandemik, boleh tengok video di bawah.

* KLCC aku datang lagi

Sampai sahaja KL aku terus naik monorel pergi KL Sentral. Selesai sahaja urusan aku dekat situ aku terus menaiki Rapid KL pergi KLCC. Buat aku yang terakhir pergi KLCC tahun 2017 ( jalan kaki dari Bukit Bintang) memang nostalgia pergi sana naik Rapid kali ni sebab masa aku duduk Selangor dulu hampir setiap hujung bulan pergi KLCC sebab nak pergi Kinokuniya. Untuk makluman, lawatan aku kali ni memang di pertengahan cuti sekolah jadi memang ramai manusia yang datang membanjiri tempat tumpuan pelancong tersebut. Sampai sahaja KLCC aku terus menuju ke Pusat Konvensyen tetapi yang aku perasan ada satu pameran besar tentang industri sarung tangan getah disana. Aku macam tak percaya yang bisnes sarung tangan getah ni orang boleh buat pameran di seluruh ground floor dekat Pusat Konvensyen tersebut dan ramai juga yang datang tu!

Pameran fasal sarung tangan getah sahaja di tingkat bawah
Para penganjur

Walaupun pameran besar tetapi aku tak berminat dengan industri tu. Jadi kehulu kehilir mencari pameran francais tu dan aku rasa hampir nak balik dah sebab fikir mungkin buat hari lain dan kemudian tiba-tiba terjumpa jadual pameran dan kursus yang ada dekat situ yang rupanya pameran aku hendak pergi ni di Hall 6 tingkat satu. Memang selalu aku datang KLCC Convention Center ni dahulu untuk Comic Fiesta dan acara-acara lain tapi tak adalah sampai tingkat satu. Cari punya cari jumpa juga tapi pameran dia tak berapa besar walaupun ramai juga yang datang.

Pameran francais Malaysia
Robot-robot pelayan

Dah puas tengok pameran, aku akan pergi tempat wajib di KLCC iaitu Kinokuniya. Aku memang ingat nak tengok-tengok apa menarik dalam tu tapi disebabkan sekarang musim cuti sekolah dan orang punya ramai walaupun hari biasa, aku pergi Japan Section sahaja yang biasa aku pergi dulu untuk cari majalah Jepun atau Manga.Berbanding masa aku pergi dahulu, dah ada macam-macam sekarang termasuklah figure,cenderahati, kraftangan dan pelbagai lagi yang berkaitan dengan Jepun.

Nampak simple je bekas air tapi harga RM 145 satu

Aku tak lama dekat situ sebab hari dah lewat petang dan aku masih tak solat Asar jadi aku terus menuju ke stesen RapidKL di kala orang tengah nak balik kerja ni dan merasalah sikit ‘rush hour’ sepanjang perjalanan aku balik ke hotel di kawasan Lalaport Bukit Bintang. Selepas selesai mandi di hotel, aku bersiap pergi ke Masjid Al Bukhary yang terletak tidak berapa jauh dari situ untuk solat Maghrib dan Isyak. Kebetulan malam Jumaat, jadi selepas solat Isyak ada jamuan makan dekat tingkat bawah yang disediakan oleh pihak masjid sendiri. Aku lewat balik sebab hujan lebat dan alhamdulillah masih sempat naik monorel kembali semula ke hotel aku dalam pukul 10.00 malam.

Keesokan harinya selepas aku ‘check out’ dari hotel, aku pergi makan di Berjaya Times Square. Kemudian,menuju semula ke masjid untuk Solat Jumaat. Aku tengok ramai betul orang meniaga di tempat jalan kaki menuju ke masjid tu, rasa dah macam pasar pagi! Tetapi aku tak beli apa-apa pun dan terus duduk didalam masjid sampai solat selesai. Habis sahaja solat aku terus menuju ke Lalaport untuk tengok apa yang menarik disana. Aku tak ada banyak masa jadi singgah Niitori, Sony Centre dan Nijima sahaja. Selepas tu aku naik monorel semula, naik bas dan menuju kembali kerumah. Harap dapat datang lagi KL hujung tahun ni tapi tengoklah kalau ada apa-apa yang menarik

Masjid Al Bukhary Kuala Lumpur
Penjaja di kaki lima masjid

*Pertama dan terakhir

Dikesempatan ni aku nak cerita sikit tentang hotel yang aku tinggal namanya Golden Palace Hotel. Tapi indah khabar dari nama sahaja sebab serba tak kena aku rasa. Pertamanya, masa booking nampak murah sebab dalam lingkungan RM 50 sahaja semalam. Tetapi bila sampai tiba-tiba kena tambah RM 30 lagi jadi harga yang sebenar jadi RM 80 yang buat aku rasa tertipu sikit. Hotel memang buruk dan tak berbaloi dengan harga. Air panas nak mandi takda, air aircond menitik, bunyi bising orang cakap malam-malam dekat luar, siaran TV2 dan TV sukan sahaja yang ada suara TV lain diam membisu dan aircond yang tak berapa sejuk (nasib baik malam tu hujan). Setakat ni inilah hotel paling teruk pernah aku tinggal di KL dan aku harap pihak pengurusan naik taraf sikit servis dan kemudahan dekat hotel ni.

Sekian.