Hari Raya Haji 2023

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Lama betul aku tak tulis apa-apa kat sini. Sejak mula balik bekerja ni memang tak sempat nak tulis apa-apa. Balik sahaja tengok PC kejap lepas tu terus tidur. Ini pun ada masa sedikit sebab aku cuti raya haji selama 3 hari, esok dah kena kerja.

Tahun ni aku tak sempat nak masuk korban sebab dana tak cukup. Inshaallah, tahun depan kalau ada rezeki lebih bolehlah masuk satu bahagian. Harga korban sekarang pun makin mahal, mungkin akan buat korban diluar negara sebab lebih murah dan ramai disana yang lebih memerlukan.

Itulah serba sedikit coretan tengah malam ni, banyak perkara aku nak kongsi harap-harap ada masa nak tulis lagi

Sekian

Share it!

Game On Lagi Ke?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Tak sangka dalam beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan. Moga dipertemukan dengan bulan yang agung ini lagi amin ya rabb.

Posting kali ini adalah berkaitan tentang game secara jelas ‘video games’, ya suatu ketika dahulu memang aku seorang pemain game yang tegar terutamanya konsol Playstation dan PC kadangkalanya.Tetapi buat masa sekarang aku tak mahu cerita game apa yang tengah aku main sekarang cuma sejarah macammana boleh terjebak dengan dunia ni.

*Bermula dari sini…

Seingat aku mula-mula aku minat main game atau video game ni adalah ketika arwah ayah bawa aku ke satu sudut game di dalam pasaraya yang sederhana besarnya.Yelah ketika tu nak hiburkan hati budak-budak mana ada gajet canggih-canggih atau game center khusus jadi dia buatlah macam ni supaya budak-budak ni ralit sementara ibu bapa dia membeli belah atau nak layan kerenah anak dia.Pada masa itu video konsol 8-bit amat popular dan budak-budak boleh pilih daripada pelbagai katrij game yang disediakan. Bayaran mengikut jam dan selalunya aku main dalam 1 atau 1 jam setengah macam tu.Tetapi lama kelamaan pasaraya tu pun dah tutup dan aku pun dah berpindah ketempat lain.

Selang beberapa ketika, makin ramai yang ada konsol 8-bit sendiri namun aku masih tak mampu lagi.Disebabkan minat, kadang aku lepak rumah kawan yang ada konsol atau tengok dari luar rumah dia sahaja sehinggalah arwah ayah aku beli satu konsol jenama ‘Micro Genius‘ yang membuat aku sangat gembira dapat main didalam rumah sendiri.Namun, aku hanya ada satu dua katrij sahaja jadi kalau nak main game lain terpaksalah pinjam katrij kawan aku yang lain.

Seingat aku konsol yang aku ada itu bertahan dalam beberapa tahun sahaja sebelum rosak dan selepas itu aku beralih ke game ‘handheld’ popular pada zaman 90an iaitu Tetris.Kadang-kadang kalau ke bandar aku akan singgah ke arked untuk tengok orang main atau aku main sekali. Namun, dunia game berubah dengan cepat bila konsol berasaskan CD mula diperkenalkan.

*Era baru permainan video…

Lewat 90an buat pertama kalinya syarikat SONY mengeluarkan konsol Playstation pertama untuk pasaran dunia dan sejak daripada itu macam-macam game yang keluar terutamanya dari Jepun,US atau Eropah. Konsol tu memang mahal masa dia keluar dulu berganda dari konsol 8bit yang aku beli sebelum ni.Disebakan itu,aku terpaksa main dekat kedai gajet dengan bayaran RM 5 sejam lebih kurang dengan membawa memory kad sendiri sebab selalunya aku main sendirian sahaja.Namun, setelah beberapa lama dapat juga beli selepas memujuk mak dan ayah aku walaupun pada awalnya mereka memang bising tak ingat. Sejak daripada itulah mulanya ‘kegilaan’ dengan video game ni dan aku rasa dah cuba main macam-macam game dipasaran daripada yang memang terkenal hingga ke ntah apa-apa. Banyak juga duit aku habis setiap minggu beli CD game sebab masa dulu memang ada cara yang ‘murah’ dan dijual secara terbuka.Boleh dikatakan berjam-jam dihabiskan dihadapan TV dan kalau game tu menarik sangat boleh sampai ke Subuh dibuatnya.

Masuk tahun 2000, SONY mula memperkenalkan Playstation 2 pula,aku sempat beli konsol ni beberapa tahun kemudian namun disebabkan aku masih belajar aku jarang dapat main dan berkesempatan bila ada cuti semester sahaja.Ketika itu aku masih lagi ‘hardcore gamer‘ sebab memang banyak judul-judul game yang menarik seperti Final Fantasy,Resident Evil dan Silenthill. Macam biasa, aku akan berada dihadapan TV sehari suntuk hingga kadang-kadang terlelap sampai ‘controller’ tu jatuh atas muka aku (kadang-kadang aku main sambil berbaring). Seperti biasa kedai game merupakan tempat wajib aku singgah kalau pergi bandar atau mana-mana pekan besar. Walapun ada game yang belum habis main, aku tetap beli juga sebagai benda yang akan dimain seterusnya.

*Pilihan makin banyak…

Selang beberapa tahun selepas populariti PS2 ni, SONY mengeluarkan pula konsol generasi seterusnya iaitu Playstation 3,seingat aku dalam tahun 2008 macam tu. Tetapi, agak lama juga aku terpaksa menunggu untuk beli konsol ni sebab masalah duit terutamanya dan ketika ini aku dah mula sibuk dengan kerja.Dalam masa yang sama, syarikat gergasi perisian komputer Microsoft, mengeluarkan konsol dia sendiri iaitu XBOX yang merupakan saingan kuat untuk Playstation, ia mendapat sambutan hebat diseluruh dunia dengan pelbagai game hebat yang tersendiri. Sebelum beli PS3, sempat juga beli XBOX360 dan main beberapa game tetapi aku rasa macam tak kena lalu aku jual tak sampai setahun rasanya.

Selain itu,aku juga ada beli Playstation Portable (PSP) semata-mata nak main Tokimeki Memorial 4 (aku memang kaki Tokimeki walaupun dalam Jepun sepenuhnya) dan semasa duduk di Australia aku beli Playstation Vita sebab bosan masa cuti tak tahu nak buat apa. Kedua-dua handheld tu aku dah jual sebab tak ada game sangat yang aku nak main dan perlukan duit ketika itu. Handheld yang aku nak beli lepas ni mungkin Nintendo Switch sebab nak main Front Mission First.

Balik dari Australia tahun 2015, Playstation 4 dah beberapa tahun dilancarkan. Aku dalam dilema nak beli PS3 dulu ke atau PS4. Setelah fikir punya fikir baru teringat ada game PS3 terpakai yang aku beli dahulu masih ada dirumah. Jadi aku beli dahulu PS3 dengan harapan mungkin tahun berikutnya aku dapat ‘upgrade’ ke PS4 tetapi itulah sampai sekarang masih belum dapat beli PS4 sehinggalah Playstation 5 keluar sekarang.Buat masa ni aku masih belum mampu untuk beli kedua-dua konsol ni.

Buat masa sekarang, aku banyak main game dari STEAM guna laptop dan kadang-kadang buka PS3 untuk habiskan beberapa game yang ‘still ongoing‘. Mana-mana game yang tak sempat habis masa zaman PS1 dan PS2 aku tengok gameplay sahajalah di Youtube.Terus terang aku bukanlah ‘Hardcore Gamer’ lagi macam dulu-dulu cuma ‘Casual Gamer’ yang lepas gian sekali-sekala. Tetapi kalau ada title yang menarik macam Resident Evil contohnya memang aku akan cuba habiskan satu ‘gameplay’ dan kalau aku ada ‘mood’ akan main sekali lagi.

Sebagai gamer, tak semua game aku main. Ada beberapa genre game yang aku tak main contohnya sukan, fighting ,open world terutamanya online based yang entah bila nak habis dan 1st person shooter sebab aku mudah kena ‘motion sickness’. Genre game yang aku minat tentunya RPG (story based dan selalunya dari Jepun), 3rd person shooter (Max Payne,Syphon Filter, Uncharted dan sebagainya) dan horror games (Resident Evil,Silenthill,Fatal Frame dan sebagainya). Aku juga tak terlibat dalam esport, pernahlah dulu-dulu buat LAN party untuk seronok-seronok bersama kawan-kawan atau lawan dengan orang lain di Kafe Siber, tetapi untuk terlibat secara serius memang takdelah.Selain itu kalau ada game yang macam menarik aku akan layan dan mungkin main sampai habis,harapan yang tinggi ada untuk main Last of Us Eps 1 sekiranya dapat beli PS5 nanti.

*Masa depan gaming…

Aku rasa fenomena ni bukan kena dekat aku sahaja malah melanda seluruh dunia, cuma masa tu dunia internet ni baru nak berkembang dan media sosial pun belum gah lagi. Cuma beberapa tahun ni sahaja bila laman web utama macam Facebook dan Youtube menjadi rujukan utama gamers seluruh dunia yang sebelum ni tertumpu pada forum-forum komuniti kecil, barulah kita tahu yang industri permainan video ni memang satu bisnes yang menguntungkan dan berjumlah berbilion ringgit!

Terus terang buat masa ni aku tak dapat meninggalkan dunia game ini sepenuhnya. Banyak lagi game yang aku belum main dan sekarang ni banyak pula syarikat game dah mula buat ‘remake’ untuk game hit mereka yang lepas-lepas. Sebagai contoh, Capcom akan mengeluarkan versi baru Resident Evil 4 dalam Mac 2023 ni. Aku dah habis main yang original masa dia keluar tahun 2006 yang lalu untuk PS2 dan mereka dah ‘remake’ semua game RE sebelumnya dari 1 hingga 3 dan aku dah habis main kesemuanya. Ini sebenarnya strategi mereka untuk memberi pendedahan kepada pemain lama dan juga baru francais ni.

Itulah serba sedikit hobi kegemaran aku pada masa lapang yang masih aku teruskan sampai sekarang. Bagi aku,hobi bermain game ni macam menonton filem atau membaca buku cuma ia lebih interaktif dan kita dapat merasai kesudahan cerita tersebut.

Sekian

Share it!

Setiap Hujung Tahun…

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Hari ini baru masuk bulan Febuari 2023 dan sekarang pun dah masuk bulan Rejab, kemudian Syaaban dan bulan mulia Ramadhan. Lama juga tak tulis apa-apa sebab tidak ada apa yang menarik untuk ditulis, sibuk dengan trade dan belajar saham.Hujung minggu lepas baru masuk pakej aku yang mana belajar untuk trade saham global khususnya pasaran US. Dia buat 3 hari berturut-turut siang dan malam dari hari Sabtu sampai Isnin. Pada aku lebihnya kepada sesi motivasilah tetapi ada jugalah maklumat-maklumat baru yang aku dapat. Selepas ini banyak lagi sesi ‘mentoring’ dari dia dan anak didik dia.Apapun, kalau dia kasi link aku ikut sahaja.

Baiklah kali ni aku nak cerita apa benda wajib yang aku buat setiap awal tahun baru. Bukan sambutan tahun baru di dataran atau main bunga api, aku dah tua sangat untuk itu yang aku maksudkan adalah rancangan TV sempena tahun baru. Lagi bukan rancangan TV tempatan ( rancangan TV tempatan pun tak ada sebab sambutan tahun baru dibatalkan) yang aku maksudkan rancangan TV tahun baru di Jepun yang menampilkan artis-artis mereka.

*Siaran selama 4 jam!

Rancangan TV Jepun yang aku maksudkan adalah ‘Kouhaku Utagassen’ atau ‘Red and White Song Festival’ lebih kurang macam tu lah. Disiarkan secara langsung pada setiap malam tahun baru dan mengambil masa dalam 4 jam lebih. Rancangan ni dah berdekad lamanya dan aku mula layan lebih kurang 13 tahun yang lalu cuma ada beberapa tahun tu aku tak dapat tengok sebab berada diluar negara dan ada juga malas nak download sebab fail dia terlalu besar. Tetapi sejak beberapa tahun ni memang layan sampai habis kerana nak tengok lagu atau artis mana yang hit pada tahun tersebut.

Pada awalnya, aku layan sebab ada idola-idola Jepun yang turut serta dalam persembahan. Tetapi sejak beberapa tahun ni dah makin kurang dan mula nampak pengaruh K-Pop dalam persembahan mereka.Pelbagai jenis artis ada dari tua,muda dan kanak-kanak.Semua genre ada dari Jpop hingga ke ‘Enka’.Pengacara,hos dan tetamu terhormat adalah dikalangan selebriti dan ahli sukan.Selesai semua persembahan mereka akan membuat undian pasukan mana yang akan menang berdasarkan undian penonton di hall dan dirumah. Pasukan wanita diwakili dengan warna merah dan lelaki dengan warna putih, ikut bendera Jepun juga jadi yang menang akan dapat bragging rights sampai hujung tahun depan pula.

*Kalau ada tengok sahaja

Itulah serba sedikit rancangan TV Jepun yang aku layan sekarang.Dulu lagi banyak anime,TV shows,Jdrama dan sebagainya tapi sekarang dah kurang sikit dan fokus pada anime-anime mainstream sahaja.Memang ada siaran TV NHK di ASTRO yang boleh tengok secara live tetapi macam tak berbaloi sebab cuma nak tengok itu sahaja dan kena langgan pakej lain.

Jadi itulah serba sedikit tentang rancangan TV Jepun yang aku pasti layan tiap-tiap tahun cuma masa tahun 2020 rasanya dibatalkan dan tahun berikutnya dibuat tanpa penonton di hall.Baru tahun ini sahaja penonton di hall dibenarkan dan kena pakai mask cuma selebriti,pengacara dan artis tak kena pakai.

Apa punya lagu la sakit telinga aku dengar macammana terkenal satu dunia aku pun hairan

Sekian

Share it!

Aku dan Saham 2.0

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Setelah tiga bulan menunggu akhirnya kelas saham pun bermula! Tapi sebenarnya dalam tempoh itu banyak juga aku buat trade di Bursa dan demo trade saham global di Saxo Trader. Dalam Bursa aku terus selam terus guna real account dan sekarang masih melingkup haha. Namun aku masih lagi belajar secara sendiri melalui Youtube melalui guru-guru yang lain menggunakan teknik-teknik tertentu dan rasanya sekarang ada hasilnya, tetapi masih permulaan dan perlu banyak kajian lagi.

*Kenal Saham anda

Baiklah, cerita sedikit pasal kelas saham ni yang kelas pengenalannya bermula hujung minggu lepas. Kelas pengenalan ni memang betul-betul basic dan lebih ditujukan untuk orang yang tak tahu apa-apa tentang trade saham ni. Kelas ini juga terbuka untuk semua pakej dari yang murah kepada yang paling mahal. Aku pun tak berapa layan sangat sebab ulang benda yang aku dah tahu sampai aku tertidur dibuatnya haha.Oh ya, semua kelas dibuat secara online kecuali ada satu pakej mahal yang akan ada sesi secara bersemuka.

Hujung minggu ni pula merupakan kelas untuk meraka yang ambil Bursa sahaja tetapi semua orang yang ambil pakej dengan dia dijemput sekali. Macam sebelumnya tak ada benda baru cuma adalah sedikit-sedikit info yang berguna. Ada dia bagi kerja rumah tetapi macam malas pula nak hantar sebab kira nak cepatkan habis dan terus nak trade sahaja. Tetapi kalau dia suruh juga terpaksalah aku hantar haha.Petang tadi guru besar dia turun dan kongsi maklumat yang penting yang aku rasa paling menarik dalam dua hari tempoh pembelajaran ni.

Dalam minggu depan ada sesi ulangkaji dan hujung bulan Januari 2023 nanti bermulalah sesi pembelajaran untuk pakej aku yang meliputi cara nak trade saham-saham global dan inilah sebab utama aku ambil kelas dengan dia. Aku rasa itu sahajalah buat masa ini sebab perjalanan untuk menjadi seorang trader ni masih jauh dan berliku. Semoga bertemu kejayaan kelak, Amin.

Dia bagi buku teks dengan baju sehelai seminggu sebelum kelas bermula

Sekian

Share it!

Melangkah ke 2023

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah dipanjangkan umur ke tahun 2023! Harap-harap tahun ini dilimpahi dengan rezeki dan kesihatan yang baik. Amin ya rabb!. .Pada aku setiap kali tahun baru pasti akan ingat bahawa umur semakin meningkat dan kian menghampiri penghujungnya yang tidak tahu bila.

Tahun baru kali ini aku duduk rumah sahaja sambil melayan dentuman bunga api diluar sana kemudian selang beberapa jam terus tidur. Keesokan harinya aku pergi pasar Ahad beli barang makanan sedikit kemudian balik sebab orang masih ramai tatkala sekolah masih bercuti. Cuma malam itu aku ingat nak layan satu cerita Jepun yang aku simpan bertahun-tahun tak tengok-tengok jadi aku bagi ulasan sikitlah jalan ceritanya.

Tajuk Jepunnya ‘Goya Champuru’ atau ‘Island of Light’ dalam bahasa inggerisnya (tetapi bila aku selidik rupanya nama hidangan yang menggunakan peria dan telur). Mengisahkan seorang pelajar sekolah menengah ni nama Suzuki Hiromi yang sering dibuli oleh rakan sekolahnya hingga satu tahap dia tak mahu lagi datang sekolah,menjadi pendiam dan mengurung diri dalam bilik. Dia dijaga oleh datuk dan nenek selepas kehilangan bapa. Manakala, mak dia melarikan diri ketika dia masih kecil. Dalam duduk diam dalam bilik tu, dia berkenalan dengan dua orang rakan internet yang salah seorang daripadanya mengajak dia untuk datang ke Okinawa untuk berjumpa dengan dia. Tanpa berfikir panjang, dia melarikan diri dari rumah pergi ke sebuah pulau di Okinawa namanya Ishigaki. Tetapi tujuan dia ke pulau itu bukan hanya mencari kenalan internet tetapi lebih lagi daripada itu.

Bila tengok cerita ni teringin pula nak pergi ke Okinawa dan merasa suasana pantai disana. Kalau aku tinggal lama di Jepun mungkin singgah sebentar rasanya buat lawatan.

Sekian

Share it!