Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Tak sangka dalam beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan. Moga dipertemukan dengan bulan yang agung ini lagi amin ya rabb.
Posting kali ini adalah berkaitan tentang game secara jelas ‘video games’, ya suatu ketika dahulu memang aku seorang pemain game yang tegar terutamanya konsol Playstation dan PC kadangkalanya.Tetapi buat masa sekarang aku tak mahu cerita game apa yang tengah aku main sekarang cuma sejarah macammana boleh terjebak dengan dunia ni.
*Bermula dari sini…
Seingat aku mula-mula aku minat main game atau video game ni adalah ketika arwah ayah bawa aku ke satu sudut game di dalam pasaraya yang sederhana besarnya.Yelah ketika tu nak hiburkan hati budak-budak mana ada gajet canggih-canggih atau game center khusus jadi dia buatlah macam ni supaya budak-budak ni ralit sementara ibu bapa dia membeli belah atau nak layan kerenah anak dia.Pada masa itu video konsol 8-bit amat popular dan budak-budak boleh pilih daripada pelbagai katrij game yang disediakan. Bayaran mengikut jam dan selalunya aku main dalam 1 atau 1 jam setengah macam tu.Tetapi lama kelamaan pasaraya tu pun dah tutup dan aku pun dah berpindah ketempat lain.
Selang beberapa ketika, makin ramai yang ada konsol 8-bit sendiri namun aku masih tak mampu lagi.Disebabkan minat, kadang aku lepak rumah kawan yang ada konsol atau tengok dari luar rumah dia sahaja sehinggalah arwah ayah aku beli satu konsol jenama ‘Micro Genius‘ yang membuat aku sangat gembira dapat main didalam rumah sendiri.Namun, aku hanya ada satu dua katrij sahaja jadi kalau nak main game lain terpaksalah pinjam katrij kawan aku yang lain.
Seingat aku konsol yang aku ada itu bertahan dalam beberapa tahun sahaja sebelum rosak dan selepas itu aku beralih ke game ‘handheld’ popular pada zaman 90an iaitu Tetris.Kadang-kadang kalau ke bandar aku akan singgah ke arked untuk tengok orang main atau aku main sekali. Namun, dunia game berubah dengan cepat bila konsol berasaskan CD mula diperkenalkan.
*Era baru permainan video…
Lewat 90an buat pertama kalinya syarikat SONY mengeluarkan konsol Playstation pertama untuk pasaran dunia dan sejak daripada itu macam-macam game yang keluar terutamanya dari Jepun,US atau Eropah. Konsol tu memang mahal masa dia keluar dulu berganda dari konsol 8bit yang aku beli sebelum ni.Disebakan itu,aku terpaksa main dekat kedai gajet dengan bayaran RM 5 sejam lebih kurang dengan membawa memory kad sendiri sebab selalunya aku main sendirian sahaja.Namun, setelah beberapa lama dapat juga beli selepas memujuk mak dan ayah aku walaupun pada awalnya mereka memang bising tak ingat. Sejak daripada itulah mulanya ‘kegilaan’ dengan video game ni dan aku rasa dah cuba main macam-macam game dipasaran daripada yang memang terkenal hingga ke ntah apa-apa. Banyak juga duit aku habis setiap minggu beli CD game sebab masa dulu memang ada cara yang ‘murah’ dan dijual secara terbuka.Boleh dikatakan berjam-jam dihabiskan dihadapan TV dan kalau game tu menarik sangat boleh sampai ke Subuh dibuatnya.
Masuk tahun 2000, SONY mula memperkenalkan Playstation 2 pula,aku sempat beli konsol ni beberapa tahun kemudian namun disebabkan aku masih belajar aku jarang dapat main dan berkesempatan bila ada cuti semester sahaja.Ketika itu aku masih lagi ‘hardcore gamer‘ sebab memang banyak judul-judul game yang menarik seperti Final Fantasy,Resident Evil dan Silenthill. Macam biasa, aku akan berada dihadapan TV sehari suntuk hingga kadang-kadang terlelap sampai ‘controller’ tu jatuh atas muka aku (kadang-kadang aku main sambil berbaring). Seperti biasa kedai game merupakan tempat wajib aku singgah kalau pergi bandar atau mana-mana pekan besar. Walapun ada game yang belum habis main, aku tetap beli juga sebagai benda yang akan dimain seterusnya.
*Pilihan makin banyak…
Selang beberapa tahun selepas populariti PS2 ni, SONY mengeluarkan pula konsol generasi seterusnya iaitu Playstation 3,seingat aku dalam tahun 2008 macam tu. Tetapi, agak lama juga aku terpaksa menunggu untuk beli konsol ni sebab masalah duit terutamanya dan ketika ini aku dah mula sibuk dengan kerja.Dalam masa yang sama, syarikat gergasi perisian komputer Microsoft, mengeluarkan konsol dia sendiri iaitu XBOX yang merupakan saingan kuat untuk Playstation, ia mendapat sambutan hebat diseluruh dunia dengan pelbagai game hebat yang tersendiri. Sebelum beli PS3, sempat juga beli XBOX360 dan main beberapa game tetapi aku rasa macam tak kena lalu aku jual tak sampai setahun rasanya.
Selain itu,aku juga ada beli Playstation Portable (PSP) semata-mata nak main Tokimeki Memorial 4 (aku memang kaki Tokimeki walaupun dalam Jepun sepenuhnya) dan semasa duduk di Australia aku beli Playstation Vita sebab bosan masa cuti tak tahu nak buat apa. Kedua-dua handheld tu aku dah jual sebab tak ada game sangat yang aku nak main dan perlukan duit ketika itu. Handheld yang aku nak beli lepas ni mungkin Nintendo Switch sebab nak main Front Mission First.
Balik dari Australia tahun 2015, Playstation 4 dah beberapa tahun dilancarkan. Aku dalam dilema nak beli PS3 dulu ke atau PS4. Setelah fikir punya fikir baru teringat ada game PS3 terpakai yang aku beli dahulu masih ada dirumah. Jadi aku beli dahulu PS3 dengan harapan mungkin tahun berikutnya aku dapat ‘upgrade’ ke PS4 tetapi itulah sampai sekarang masih belum dapat beli PS4 sehinggalah Playstation 5 keluar sekarang.Buat masa ni aku masih belum mampu untuk beli kedua-dua konsol ni.
Buat masa sekarang, aku banyak main game dari STEAM guna laptop dan kadang-kadang buka PS3 untuk habiskan beberapa game yang ‘still ongoing‘. Mana-mana game yang tak sempat habis masa zaman PS1 dan PS2 aku tengok gameplay sahajalah di Youtube.Terus terang aku bukanlah ‘Hardcore Gamer’ lagi macam dulu-dulu cuma ‘Casual Gamer’ yang lepas gian sekali-sekala. Tetapi kalau ada title yang menarik macam Resident Evil contohnya memang aku akan cuba habiskan satu ‘gameplay’ dan kalau aku ada ‘mood’ akan main sekali lagi.
Sebagai gamer, tak semua game aku main. Ada beberapa genre game yang aku tak main contohnya sukan, fighting ,open world terutamanya online based yang entah bila nak habis dan 1st person shooter sebab aku mudah kena ‘motion sickness’. Genre game yang aku minat tentunya RPG (story based dan selalunya dari Jepun), 3rd person shooter (Max Payne,Syphon Filter, Uncharted dan sebagainya) dan horror games (Resident Evil,Silenthill,Fatal Frame dan sebagainya). Aku juga tak terlibat dalam esport, pernahlah dulu-dulu buat LAN party untuk seronok-seronok bersama kawan-kawan atau lawan dengan orang lain di Kafe Siber, tetapi untuk terlibat secara serius memang takdelah.Selain itu kalau ada game yang macam menarik aku akan layan dan mungkin main sampai habis,harapan yang tinggi ada untuk main Last of Us Eps 1 sekiranya dapat beli PS5 nanti.
*Masa depan gaming…
Aku rasa fenomena ni bukan kena dekat aku sahaja malah melanda seluruh dunia, cuma masa tu dunia internet ni baru nak berkembang dan media sosial pun belum gah lagi. Cuma beberapa tahun ni sahaja bila laman web utama macam Facebook dan Youtube menjadi rujukan utama gamers seluruh dunia yang sebelum ni tertumpu pada forum-forum komuniti kecil, barulah kita tahu yang industri permainan video ni memang satu bisnes yang menguntungkan dan berjumlah berbilion ringgit!
Terus terang buat masa ni aku tak dapat meninggalkan dunia game ini sepenuhnya. Banyak lagi game yang aku belum main dan sekarang ni banyak pula syarikat game dah mula buat ‘remake’ untuk game hit mereka yang lepas-lepas. Sebagai contoh, Capcom akan mengeluarkan versi baru Resident Evil 4 dalam Mac 2023 ni. Aku dah habis main yang original masa dia keluar tahun 2006 yang lalu untuk PS2 dan mereka dah ‘remake’ semua game RE sebelumnya dari 1 hingga 3 dan aku dah habis main kesemuanya. Ini sebenarnya strategi mereka untuk memberi pendedahan kepada pemain lama dan juga baru francais ni.
Itulah serba sedikit hobi kegemaran aku pada masa lapang yang masih aku teruskan sampai sekarang. Bagi aku,hobi bermain game ni macam menonton filem atau membaca buku cuma ia lebih interaktif dan kita dapat merasai kesudahan cerita tersebut.
Sekian