Putrajaya 2022

*Aku kembali ke Putrajaya

Assalamulaikum dan salam sejahtera semua. Baru-baru ni aku kembali semula ke Putrajaya setelah sekian lama atas urusan memperbaharui semula pasport aku di Jabatan Imigresen .Dahulu, masa aku duduk di kawasan Serdang,Selangor selalu jugak datang sini untuk urusan kerja atau acara-acara menarik yang dianjurkan oleh pihak agensi kerajaan. Kali pertama aku datang ke Putrajaya dahulu dalam tahun 2001 lebih kurang masa ada rombongan Kolej ke sini, masa tu tempat masih baru dan Masjid Putra tak boleh nak solat lagi dan hanya untuk lawatan pengunjung. Acara paling besar aku pernah pergi adalah Hari Belia Negara 2012 (video dibawah)

*Di mana nak tidur malam ni?

Aku rasa untuk blog pasal travel ni hanya cerita hotel mana yang aku tinggal dan buat ulasan sedikit sebab untuk aktiviti yang aku buat boleh rujuk video Youtube dibawah. Memang lumrah kalau pergi mana-mana mesti kita akan cari tempat nak tinggal kalau kita bermalam sekali. Memang kebiasaannya aku akan cari hotel yang berdekatan dengan masjid kalau boleh dan hotel yang aku duduk di Putrajaya ni namanya Dorsett Putrajaya memang berdekatan dengan Masjid Sultan Zainal Abidin atau orang panggil ‘Masjid Besi’.

Hotel ni memang jadi tumpuan orang yang ingin berurusan dengan badan-badan kerajaan sebab terletak di tengah-tengah Putrajaya itu sendiri dan ada juga yang datang untuk makan direstoran yang disediakan. Jadi,sesiapa yang teringin nak menginap disini aku syorkan untuk terus ke laman web dia. Pada masa ni untuk dapat harga yang lebih rendah, boleh daftar keahlian dan dapat diskaun. Tempoh keahlian dalam 2 tahun dan boleh terminate bila-bila. Bila dah jadi ahli, kalau menginap dimana-mana hotel cawangan diseluruh dunia boleh dapat mata ganjaran untuk tebus naik taraf bilik dan layanan istimewa yang lain. Berikut adalah ringkasan aku ketika menginap disini selama 2 malam:

Pro:

  • Tempat strategik. Boleh jalan kaki sahaja untuk ke bangunan kerajaan,masjid, pasaraya mini dan kedai makan.
  • Layanan pun ok dan staff banyak membantu.
  • Bilik bersih, katil sedap tidur dan air cond pun sejuk
  • Ada kolam renang dan gymnasium untuk tetamu hotel

Cons:

  • TV 40″ dah ok tetapi dia ‘lock’ input untuk HDMI dan USB jadi kena layan siaran TV yang dia sediakan tak boleh sambung pada laptop atau guna USB. Ini yang buat aku agak kecewa dan mungkin akan elakkan tempah dekat hotel ni lagi atau cawangan-cawangan dia.
  • Dalam dua kali sarapan aku nampak menu dia tiada perubahan sangat.

Itulah serba sedikit ulasan aku fasal hotel yang aku tinggal masa aku dekat Putrajaya baru-baru ni. Cuma nak bagitahu yang agak sukar cari teksi dikawasan sini jadi kalau tak ada pilihan perlu pakai e-hailing untuk pergi mana-mana. Aku pun tanya kaunter hotel kalau boleh panggil teksi tapi dia panggil GRAB sahaja untuk bawa aku pergi ke Putrajaya Sentral. Video trip ada dibawah.

Sekian

Hidup ketika pandemik

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Seperti mana yang kita ketahui dah lebih 2 tahun pandemik Covid-19 ni berlaku. Walaupun masih ada jangkitan sampai hari ini tapi alhamdulillah tak serius seperti dulu yang membuatkan seluruh dunia hampir ‘lumpuh’.Sepanjang masa itu aku bersyukur sebab masih boleh bekerja kerana bidang yang aku termasuk ‘essential services’ yang merupakan barang keperluan harian.

*Sepanjang tempoh itu

Dalam tempoh pandemik tu memang tak boleh dinafikan amat memeritkan. Pada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama aku tengok awal-awal tu memang orang masih buat tak tahu dan menjalani kehidupan biasa. Ada yang masih keluar rumah berjoging dan bersiar-siar. Pemakaian pelitup muka masih janggal tetapi bila kerajaan makin serius baru ramai orang pakai termasuk aku dan bersyukur sekali lagi tak payah beli sebab syarikat tempat aku bagi hari-hari. Jalan raya jadi lengang dan nak cari tempat makan pun payah jadi aku makan kat tempat kerja atau dekat luar masjid sambil solat sekali sebab nak masuk dalam masjid dah kena tutup. PKP kedua agak longgar sedikit bila kedai makan dah buka tetapi kena bungkus tak boleh makan dalam kedai tetapi orang masih tak boleh rentas daerah, ketika itu juga agak terkilan sebab minyak murah tetapi tak boleh kemana-mana, pergi kerja balik kerja sahaja.

Tetapi bila PKP ketiga tiba itu yang paling ekstrem (bagi aku), pada masa tu jangkitan dah mula cecah 5 angka dan lokasi ‘panas’ dah kena PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat). Banyak tempat dah kena termasuk taman aku tinggal. Taman aku kena 2 kali (lebih juga rasanya sebab ada lorong rumah kena juga) dengan yang pertama itu paling ketat. Apa yang berlaku adalah masjid serta sekolah akan ditutup sepenuhnya, kedai runcit buka tetapi masa terhad dan orang yang nak keluar kena ada surat khas atas sebab-sebab tertentu sahaja. Pernah aku aku tak dapat kerja selama seminggu lebih bila pihak berkuasa tak bagi sesiapa pun keluar kecuali yang kerja dengan pihak berkuasa sahaja. Penyelia aku yang merayu untuk aku pun dia tak bagi dan beberapa pekerja yang tinggal sekali dekat taman aku pun tak boleh keluar jadi agak tertekan juga masa tu. Tetapi sekarang alhamdulillah semua dah selamat dan aku berdoa semoga janganlah kena ‘kurung’ lagi.

Anak panah tu tunjuk khemah pihak berkuasa masa PKPD taman aku dahulu
Semua jalan keluar ditutup 🙁

*Kena kuarantin dirumah

Disepanjang musim pandemik itu hari, memang ramai rakan sekerja aku kena kuarantin disebabkan positif Covid-19 atau kontak rapat. Malangnya aku juga tak terkecuali, entah macammana, malam tu badan rasa lain macam dan tiba-tiba panas.Lepas telan Panadol lega sekejap sahaja lepas tu demam balik. Pagi itu aku datang kerja tetapi lepas tu pening kepala dan demam dan selepas tengahari aku cakap dekat bos nak balik sebab tak sedap badan. Keesokan harinya aku pergi klinik dan selepas check darah disahkan aku mungkin kena denggi. Tetapi, aku dikira bergejala dan terpaksa buat RT-PCR test pada hari yang sama dan kena kuarantin dirumah dalam dua minggu lebih. Lepas kena pakai gelang pink aku duduk rumah dan kena datang klinik balik untuk ambil darah sekali lagi sebab nak tengok sel darah putih aku masih turun atau tidak.

Bila doktor kata tak ada apa-apa dan demam pun semakin baik, aku pun tarik nafas lega sebab bukan kena Covid-19 tetapi masih kena kuarantin wajib dekat rumah. Jadi bermulalah hari-hari duduk rumah sahaja tak boleh keluar kemana-mana sampai aku nak beli air mineral pun kena guna Shopee. Selain makan,tidur dan solat aku banyak habiskan masa di Youtube. Aku tengok sahaja orang main RE: Village kerana aku tak boleh main sangat game 1st person sebab buat aku loya dan pening. Tetapi kebanyakkan masa malam aku layan Walking Tour terutamanya dekat Jepun.

*Tak sangka jadi macam ni…

Memang tak sangka betul bila fikir balik yang mulanya tak boleh ke luar negara,kemudian tak boleh rentas negeri, kemudian daerah dan kini rumah cuma tak sampai tak boleh keluar bilik lagi. Nauzubillah…harap-harap jangan jadi sampai macam tu. Jadi sambung balik pasal tengok Walking Tour dekat Youtube, kebanyakkannya dekat Jepun sebab nak ingat balik ziarah aku kesana 11 tahun lepas (aku kena kuarantin dalam bulan Julai 2021). Jadi setiap hari mereka akan update terutamanya tempat-tempat tumpuan orang ramai macam Akihabara,Harajuku dan Shibuya. Mereka rakam pun masa tengah musim panas jadi memang menariklah tengok orang semua pakai baju longgar walaupun hampir 100% orang sana pakai pelitup muka. Sampai sekarang pun mereka masih rakam suasana ditempat-tempat tersebut dan aku nampak makin ramai yang berbuat demikian.

Akhirnya selepas tamat kuarantin aku pergi potong gelang diklinik khas dan alhamdulillah sampai sekarang tak kena kuarantin atau kena jangkitan Covid-19.Aku pun dah ambil dos vaksin termasuk booster tetapi tetap pakai pelitup muka ke mana-mana tempat aku pergi sebagai langkah berjaga-jaga. Tetapi pada aku kita masih belum menang sebab orang yang positif masih ramai dan daerah aku pun masih zon merah jadi apa-apapun perlu berhati-hati.

Sekian

Bon Odori 2022

*Pergi ke tak?

Assalamulaikum dan selamat malam semua. Dah lama sebenarnya aku nak tulis pasal ni sejak menjadi isu besar dari bulan Jun lagi. Nampak dari tajuk tu, nampak macam aku pergi ke tak tahun ni tapi sebenarnya aku tak pergi pun dan aku akan terangkan kemudian kenapa. Sebelum tu aku nak cerita sedikit pengalaman aku pergi pesta Bon Odori ni pada masa yang lepas.

*Aku dan Bon Odori

Pesta Bon Odori ni (pada fahaman aku) seperti yang sedia maklum adalah acara kebudayaan bagi masyarakat Jepun memperingati arwah nenek moyang diaorang dahulu dan disambut pada musim panas diantara bulan Jun hingga Ogos. Acara dia sama sahaja tiap-tiap tahun dimana penari-penari (dan orang ramai) akan menari mengikut paluan gendang secara berpusing mengikut rentak dan gerak tari yang tertentu.

Tetapi pada awalnya, memang aku mengikut setiap acara tarian yang mereka buat sampai habis namun selepas kena tegur tentang sebab tarian itu diadakan adalah untuk memperingati roh nenek moyang meraka yang terdahulu, aku terus tak buat dan sejak itu aku datang pun sekadar nak jumpa kawan-kawan dan ambil gambar sahaja. Sebab lain pun mungkin nak rasa makanan dan minuman Jepun juga aktiviti-aktiviti lain yang ada dekat situ. Kehadiran setiap tahun memang sangat ramai dan kemuncaknya lepas maghrib bila tarian terakhir diadakan. Selain tarian, pesta ni juga adalah tempat orang berpiknik, bertemu rakan-rakan dan melaram pakaian tradisional Jepun musim panas iaitu Yukata.

Di acara ini juga aku dapat buat mini gathering bersama komuniti forum aku dahulu dan selepas acara selesai kami semua akan makan di kedai Tom Yam yang terletak tak jauh dari stadium tu. Disebabkan aku dah ikut tarian, aku meluangkan banyak masa kat situ dengan mengambil gambar dan video penari-penari termasuk orang ramai yang hadir kat acara tersebut.Rupanya, pesta ni dah lama diadakan sejak puluhan tahun lagi dan masa tu acara ni khusus untuk orang Jepun yang tinggal kat Malaysia ni namun lama kelamaan ia terbuka untuk semua.

*Dalam kenangan

Setelah beberapa tahun menghadiri pesta ni bersama kawan-kawan, terakhir sekali aku pergi adalah pada 2015 di Shah Alam dan beberapa minggu lepas tu di Johor Bahru. Di Johor baru tu acara dia kecil sikit berbanding di Shah Alam tetapi kunjungan orang ramai masih meriah. Seperti di Shah Alam yang mempunyai 3 lagu bersama tarian, di Johor ni ada tambahan 1 lagu dan tarian yang mereka panggil Johor Undou. Selain itu, masa aku pergi itu hari banyak juga aktiviti sampingan yang ada seperti sketsa dan pasukan sorak.

Kali terakhir aku pergi tahun 2015
Azmin Ali layan juga masa dia jadi MB Selangor ketika itu
Bon Odori di Johor Bahru

Disini juga aku nak ceritakan beberapa sebab aku dah tak menghadiri pesta Bon Odori ni:

  • Aku dah tinggal jauh – Dulu memang senang pergi sebab aku tinggal dekat area Selangor. Tetapi sejak 2015 aku dah tinggal kat rumah keluarga aku dan tak berkesempatan nak pergi. Tahun 2015 tu pun aku naik motor dari rumah balik hari. Malam-malam ikut Lebuhraya Karak seram weh.
  • Kawan-kawan dah tak ada – Setelah beberapa tahun aku nampak ramai yang tak dapat hadir atas macam-macam sebab seperti komitmen keluarga, kerja, tak berminat dan sebagainya. Jadi, aku pun malas nak pergi sebab tak kenal dah sapa-sapa kat situ.
  • Masa dan tujuan yang tak kena – Acara ni bermula lewat petang sampai habis waktu Isyak dan secara peribadi bagi aku macam tak kena sahaja. Walaupun surau disediakan untuk Solat tetapi keadaan memang bising dengan paluan gendangnya dan orang ramai lagi memang tak khusyuk betul. Ditambah pula baru-baru ni jadi isu yang acara ni memang tak sesuai untuk umat Islam sebab ada kepercayaan memuja roh orang mati. Selain itu, arak juga diminum secara terbuka kat sini dan lepas acara je penuh bersepah tin-tin bir disana-sini.
  • Kes COVID naik – Ada kebimbangan buat aku bila beberapa hari ni kes Covid19 makin naik jadi itu salah satu punya aku tak pergi dan cuba elakkan dari tempat sesak dan tumpuan ramai.

Itulah serba sedikit cerita aku pasal pesta Bon Odori ni. Walaupun dengan isu, aku tengok ramai juga orang datang. Aku tak boleh nak kata apa itu kehendak masing-masing tetapi buat masa ni aku tak berhajat untuk pergi, kalau pergi pun untuk jumpa kawan (kalau ada) dan ambil gambar sahaja.Masuk sahaja waktu Maghrib terus aku balik. Sekian.

Korban 2022/1443H

*Selepas dua tahun…

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Semalam rakyat Malaysia khususnya menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban. Dua tahun sebelum tu,ibadah korban tak dapat dilakukan secara terbuka kerana pandemik Covid-19, ada pun dengan SOP yang agak ketat dan dilakukan secara terhad. Tetapi tahun ni alhamdulillah, ibadah korban dapat dilakukan secara terbuka dengan bilangan lembu yang agak banyak. Raya kat tempat aku sahaja tahun ni dan aku turut serta dalam ibadah korban sebagai petugas sikit-sikit sebab nak masuk sebagai peserta lembu-lembu semua dah habis orang masuk nama dalam sehari dua sahaja. Bilangan lembu tahun ni lebih kurang 11 ekor yang aku nampak banyak yang kurus-kurus belaka. Nak buat macam mana itulah yang ada,terima sahajalah.

*Tahun ni macamana?

Alhamdulillah tahun ni aku masuk korban juga tapi kat luar negara iaitu Kemboja yang diuruskan oleh masjid tempat aku. Tahun lepas disebabkan tiada korban tempatan,aku buat melalui syarikat yang namanya EZ QURBAN. Tetapi melalui ni kita tak boleh pilih negara mana yang kita nak buat korban dan aku rasa dia akan letak pada negara yang benar-benar memerlukan daging korban. Selang beberapa hari lepas raya, baru dia hantar sijil yang mana aku dimasukkan untuk korban di CHAD, Afrika. Walaupun korban tempatan perlu diutamakan tetapi pada aku sekarang ni apabila peluang untuk buat korban di luar negara terbuka luas dengan pelbagai syarikat pengendali, kita ada pilihan untuk bagi daging pada orang yang betul-betul memerlukannya.

*Tempatan atau Luar?

Ada aku terbaca yang orang Malaysia banyak buat ibadah korban kat luar negara sebab lebih murah berbanding tempatan. Ini menyebabkan satu-satu tempat tu menjadi terlebih atau oversupply hingga satu rumah tu dapat berkilo-kilo daging korban. Aku pun tak boleh nak kata apa sebab orang berkorban pun ikut budget yang mereka ada dan macam kes aku memang aku ada hasrat nak buat korban tempatan tetapi kejap sahaja nama dah penuh. Jadi ikutlah masing-masing nak buat dekat mana yang pasti jangan tak buat terus. Sangat rugi kalau sesiapa yang berkemampuan atau ada rezeki lebih tak buat ibadah korban. Aku pun baru beberapa tahun ni sahaja dapat buat sebab kurang kesedaran dan banyak komitmen. Inshallah, kalau ada rezeki aku akan turut serta dalam ibadah korban ini sampai bila-bila dan harap dapat korban satu ekor lembu terus di masa akan datang.

Orang nak beratur nak ambil kupon. Tetapi tak semua dapat sebab daging terhad
Lembu yang terakhir. Nasib baik aku sempat tengok
Bawah garaj tu orang tengah potong tulang-tulang.
Ramai juga yang tolong
Apa yang berlaku…
Korban aku dekat Kemboja

Sekian.

Video Pertama Aku Di Youtube

Assalamulaikum dan Salam sejahtera semua. Pejam celik dah masuk bulan baru rupanya. Separuh tahun 2022 dah kita lalui, cepat betul masa berlalu. Baiklah, aku nak kongsi video pertama aku upload di Youtube yang berumur lebih 10 tahun.

*Penerangan

Kalau tengok memang tak menarik betul. Rakam pun guna telefon bimbit format .3gp masa tu. Sebelah tangan pegang telefon sebelah tekan papan kekunci. Serba sedikit pasal apa yang berlaku, aku ada install game nama dia Stepmania. Dia memang rhythm game yang selalu ada dekat arked atau console yang di panggil Dance Dance Revolution. Tetapi Stepmania ni khas untuk PC dan aku rasa ini adalah salah satu yang orang panggil game Indie.Selain itu, aku suka dengar lagu dia dan ada orang edit lagu-lagu terkini dan buat step untuk game ni secara open source tetapi kebanyakkan lagu adalah dari game original Dance Dance Revolution dan Beatmania sendiri. Aku rasa game ni boleh disambung dengan Dance Mat kalau sesiapa nak feel rasa macam main dekat arked. Game dia simple sahaja, tekan butang arrow keys tu ikut apa yang ada dalam screen. Untuk clear game ni, pemain kena tepat tekan butang pada masa yang sesuai, itu sahaja.

*Tinggal kenangan

Setelah sekian lama, apa yang ada dalam video tu dah hilang belaka (kecuali keyboard tu rasa aku ada simpan lagi). Komputer tu sebenarnya aku beli untuk buat tugasan-tugasan masa duduk Universiti dulu jadi memang berjasa betul. Kegunaan lain adalah tengok movie, main game (biasa-biasa sahaja sebab processor tak power dan kad grafik pun yang terpakai), programming sikit-sikit sebab ada manage blog serta forum untuk komuniti dan sebagainya. Komputer ni jugalah aku terpaksa angkut balik kampung setiap kali cuti semester sebab tak mampu nak beli laptop walaupun yang terpakai. Bila habis belajar komputer tu masih lagi berfungsi tetapi printer laserjet tu aku dah jual dekat kedai Cash Converter sebab dah jarang guna.

CPU dan laptop orang bagi. Laptop tu aku guna kejap sebelum aku beli laptop baru.

*Kesudahannya…

Masa zaman kerja aku bercadang nak guna buat video editing untuk Youtube tetapi untuk editing yang biasa-biasa sahaja sebab aku tak ada budget untuk upgrade dan beli baru. Video Editing Software pun banyak tak boleh support komputer ni dan nak main video 1080p pun lekat-lekat. Akhirnya, setelah berkhidmat sekian lama, pada 2011 komputer ni terus stuck/blue screen tak boleh masuk Windows buat selama-lamanya. Jadi hancurlah harapan aku untuk edit video dan muat naik ke Youtube. Jadi disebabkan tak guna, monitor tu aku hantar kedai besi buruk tapi CPU tu aku simpan lagi sampai 2022. Hardisk dah korup total tak boleh nak selamatkan dan akhirnya aku hantar semua sekali dekat kedai besi buruk.

Itulah serba sedikit apa yang terjadi dalam video pertama aku kat Youtube dan apa kesudahan selepas itu. Semoga berjumpa lagi di post akan datang. Sekian.