Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Pilhanraya umum ke-15 atau PRU15 baru sahaja berakhir.Ketika aku menulis blog ni kerajaan Malaysia masih lagi belum terbentuk dan sedang mengalami situasi yang dinamakan ‘hang parliament’ atau parlimen tergantung. Walaupun tarikh akhir menentukan gabungan parti untuk membentuk kerajaan dan seterusnya melantik Perdana Menteri berakhir pukul 2.00 petang semalam, namun telah ditunda kepada hari esok waktu yang sama.
Pada aku dan kebanyakkan orang, mereka tak kisah pun siapa yang akan menjadi Perdana Menteri sekarang sebab rakyat Malaysia dah memilih parti mana yang mereka mahu dan mereka mahu pemimpin yang dapat membaikpulih keadaan negara dengan segera, memenuhi permintaan rakyat dan menunaikan manifesto yang parti-parti politik ni buat.Minta-mintalah supaya tak kena ‘kencing’ lagi.
*Jadi calon Pilihanraya
Ya, aku pernah jadi calon pilihanraya tetapi bukan wakil parlimen dan DUN cuma wakil pelajar kat kolej sahaja haha. Masa tu memang jauh sekali niat nak pegang apa-apa jawatan di kolej ni sebab tak mahu pening-pening kepala sebab subjek pun susah amat. Namun, setelah didesak oleh seorang pelajar senior ( dia tak cakap pada aku secara terus cuma umum kepada semua orang) supaya ramai lagi mendaftar sebab kekurangan calon, aku pun akhirnya daftar nama semata-mata nak tahu proses pilihanraya ni macam-mana.
Maka bermulalah kempen beberapa hari selepas itu dan penuh la muka-muka calon di sekitar kampus. Muka aku tak ada sebab aku ni dikira calon bebas dan sebenarnya malas beriya sangat.Cuma yang penuh ditampal adalah muka-muka yang dipilih oleh senior ni yang mahu calon dia dijadikan pilihan. Pada mulanya keadaaan berjalan seperti biasa secara tiba-tiba bertebaranlah surat layang yang menyatakan aku dan beberapa calon bebas yang lain nak jadi wakil pelajar ni untuk kepentingan diri sahaja.Apalah kepentingan yang aku dapat kalau jadi wakil pelajar pun, yuran kolej pun kena bayar penuh. Kononnya ini nak ‘menghangatkan’ suasana agaknya tetapi dalam hati aku geram juga sebab kalau tahu macam ni memang tak lah aku nak masuk sampai kawan aku yang jadi calon menangis bila dapat tahu pasal taktik kotor ni.
Nak tuduh sesiapa pun tak ada bukti yang jelas. Walaupun terasa malu, kempen diteruskan juga dengan setiap calon diminta bagi ceramah didepan pelajar lain. Ada yang macam berapi-api minta sokongan dan banyak juga yang tak tahu nak cakap apa termasuk aku. Tidak lama kemudian tibalah hari pengundian dan malam tu undi dikira terus. Aku datang juga malam tu sebab nak tahu keputusan tetapi setiap calon perlu ada wakil untuk sahkan undi masing-masing. Kelam kabut juga aku nak cari dan akhirnya jumpalah seorang kawan yang sudi membantu.Selepas selesai semua kiraan kertas undi aku tak terpilih untuk jadi wakil. Tak apalah aku terima sahajalah yang pasti ada juga pengalaman serba-sedikit tentang proses pilihanraya ni walaupun dalam kampus kecil.
*Kali kedua mengundi PRU
Untuk pengetahun, ini kali kedua aku mengundi. Eh, dah lama hidup baru dua kali? Ya, ni yang aku nak cerita sedikit apa yang berlaku. Sebelum ni aku tak mengundi sebab masih belajar di Universiti dan aku pun tak berapa minat sangat ketika tu sebab undi ni sukarela sahaja tak ada paksaan pun. Aku tanam niat nak mengundi pada 2008 selepas baru sahaja bekerja. Tetapi bila nak balik kampung sahaja, tak ada satu bas atau teksi pun sebab semua orang memang nak balik mengundi. Aku ketika itu pun motor masih buruk memang tak lepas balik jadi terpaksa lupakan hasrat tersebut.
Selang beberapa tahun, PRU13 diadakan dan sekali lagi aku tak dapat mengundi sebab masih berada di Australia. Hanya pada PRU14 sahaja baru aku dapat mengundi buat pertama kali dan berpuas hati sebab dapat selesaikan tanggungjawab kepada negara.
*Malaysia memilih 2022
Disini aku nak cerita tentang pengalaman aku disepanjang dua minggu tempoh pilihanraya ini. Terus terang aku tidak fanatik kepada mana-mana parti politik pun tetapi aku melihat kepada siapa yang banyak membantu dikawasan parlimen aku ni. Calon yang aku pilih ni pernah bertanding di PRU yang lepas tetapi kalah kepada orang luar dan yang mengecewakan wakil rakyat luar tu tak pernah pun aku jumpa secara bersemuka dan hanya timbul pada iklan poster Hari Raya sahaja. Jadi aku berharap dia dapat dipilih kali ni sebab memang kerap aku jumpa dia (walaupun tak pernah tegur) ketika memberi bantuan dan melihat keadaan banjir teruk yang berlaku sebanyak 2 kali setahun tu.
Walaupun ramai yang membuat spekulasi kita semua akan meredah banjir untuk ke tempat pengundian kerana hujan turun hampir setiap hari namun alhamdulillah cuaca baik disemua tempat kecuali ada kawasan parlimen yang terpaksa ditangguhkan atas sebab cuaca.Pada PRU kali ni ada 4 calon yang bertanding di peringkat parlimen dan DUN. Malangnya orang yang aku undi tu kalah lagi dan yang menjadi wakil rakyat baru adalah seorang cikgu wanita dari Perikatan Nasional. Saudara mak aku ada bertanding di peringkat DUN tetapi kalah teruk dan parti PEJUANG yang dia wakil pun ‘terkubur’ satu Malaysia sebab tak dapat satu kerusi pun. Kalau dia masuk sebagai calon bebas mungkin aku akan undi dia sebagai tanda kesian.
Selesai pengundian, aku tunggulah keputusannya dimalam hari. Entah macammana lama betul SPR nak umum sampai siaran langsung di TV tamat pukul 5.15 pagi!. Aku lepas tu baring kejap kemudian terus solat Subuh. Pagi tu patutnya aku pergi pasar minggu tetapi terus tidur sebab mengantuk sangat. Bangun sahaja tidur, situasi politik masih dalam dilema sebab kerajaan masih lagi tak dapat dibentuk.



*Boleh ke jadi calon?
Tugas wakil rakyat ni berat sebenarnya bukan semua orang boleh buat tetapi zaman sekarang makin ramai yang nak pikul tanggungjawab tu. Atas dasar apa? Nak dapat perhatian atau wang ringgit? Mencari pengaruh? Atau memang mahu membantu menyelesaikan masalah rakyat? Yang pasti mereka yang memikul tugas ni perlu memikirkan masalah orang siang dan malam ditambah pula dengan saingan dari orang yang mahu duduk di kerusi yang sama.Cemuhan pula menjadi makanan harian walaupun telah bertungkus lumus membantu sebaik mungkin.
Terus terang aku tak sanggup memimpin orang sebab diri sendiri pun belum tentu dapat dipimpin dengan betul. Walaupun pernah berangan-angan sekiranya diberi kuasa mahu juga membuat perubahan itu dan ini. Namun aku pasrah sahaja sebagai rakyat biasa dan biarlah mereka yang berkelayakan menerajui negara ni.
Sekian Terima Kasih